UMNO Bahagian Langkawi bersama Pergerakan Sayap Pemuda dan Puteri Bahagian telah menganjurkan Program Juara Rakyat bagi tema Kebajikan yang telah berlangsung pada 02 dan 03 April 2010. Program ini sepatutnya didakan pada bulan Februari, tetapi atas faktor teknikal, ia terpaksa ditunda ke bulan April.
Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu di DUN Ayer Hangat dan DUN Kuah. Program Juara Rakyat (Kebajikan) telah bermula pada 02 April 2010 dengan berlangsung acara perasmian di peringkat DUN Ayer Hangat pada jam 8.00 pagi di Sungai Itau oleh ADUN Ayer Hangat iaitu YB En Mohd Rawi Bin Hj Abdul Hamid. Hadir sama ke program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Langkawi, merangkap ADUN Kuah iaitu YB Dato' Ir Nawawi Bin Hj Ahmad bersama-sama barisan pimpinan UMNO Bahagian. Pengisian program pada hari tersebut ialah diadakan acara bergotong-royong membaiki rumah Orang Kurang Upaya. Pada jam 11 pagi, berlangsung acara konvoi bermotosikal seramai 40 biji motosikal dari kalangan para pemuda dan belia tempatan bersama YB Dato' Ir Nawawi dan YB Mohd Rawi serta pimpinan UMNO Bahagian. Konvoi ini bergerak auntuk menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada penduduk yang tidak berkemampuan di kampung-kampung kawasan Bohor Merah - Kilim - Belanga Pecah - Sungai Itau. Perjalanan konvoi ini berakhir dengan berpatah balik ke Sungai Itau untuk makan tengahari bersama masyarakat kampung.
Pada sebelah malamnya pula telah diadakan majlis Ceramah Perdana yang telah diadakan di Kampung Sungai Menghulu, Kuah. Majlis itu dihadiri oleh YB Dato' Ir Nawawi Hj Ahmad, YB Mohd Rawi Hj Abdul Hamid serta barisan pimpinan UMNO Bahagian Langkawi. Ceramah telah disampaikan oleh Saudara Mohd Fairus Khairuddin (mantan TKM 1 Pulau Pinang) dan Saudara Hamdan Taha (Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak). Majlis telah tamat pada jam 11.45 malam.
Pada 03 April 2010, acara perasmian Program Juara Rakyat peringkat DUN Kuah telah dilancarkan. Program ini telah bermula pada jam 9.00 pagi di Kampung Sungai Menghulu dan telah dirasmikan oleh YB Dato' Ir Nawawi Hj Ahmad selaku Ketua UMNO Bahagian merangkap ADUN Kuah. Hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi merangkap Pengerusi Program Juara Rakyat Bahagian Langkawi iaitu Saudara Mansor Bin Bahari, Pimpinan UMNO Bahagian, Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bersama pimpinan-pimpinan cawangan. Program ini telah dimulakan dengan diadakan acara gotong-royong antara pemimpin bersama rakyat untuk membaiki rumah orang susah dan kurang kemampuan.
Pengisian Program Juara Rakyat ini juga turut diadakan pameran yang disertai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA3), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), LADA Langkawi Geo Park, serta gerai promosi Celcom. Turut diadakan di sepanjang program ini ialah Khidmat Permeriksaan Kesihatan Percuma kepada para penduduk oleh sekumpulan doktor pakar melayu yang berkhidmat di Negara India.
Program ini diteruskan dengan YB Dato' Ir Nawawi bersama pimpinan UMNO Langkawi berkonvoi bersama-sama 40 biji motosikal dari kalangan pemuda dan belia tempatan bergerak untuk menyampaikan sumbangan dan bantuan serta bertanya khabar kepada rakyat-rakyat di kawasan Bukit Tekoh - Buluh Penyumpit - Kampung Seberang - Kampung Kelibang - Kampung Bohor Tok Add - Kampung Depan Masjid - Kampung Bakau dan konvoi berakhir dan berpatah balik ke Kampung Sungai Menghulu untuk makan tengahari bersama penduduk kampung. Program tamat pada jam 1.40 petang.